9.3.12

Tuhan, Kurniakanlah Kepadaku Keampunanmu


Karya picisan ini ditulis sekadar untuk memperbaiki kelemahan saya dalam bidang ini.  Minta sebarang teguran jika ada sebarang kesilapan dalam karya ini.  Maaf jika jalan ceritanya mengecewakan.  Terima kasih.

+++

FATASYA terjaga sebaik terdengar pintu biliknya diketuk bertalu-talu.  Dia bingkas bangun dari pembaringannya menuju ke suis lampu.  Pintu bilik dikuak sedikit tanda dia sudah bangkit dari tidurnya.

“Haa, bangun, solat Subuh.  Dah pukul 6 dah ni.  Nanti lewat pula ke sekolah,”  suara Puan Saonah menerjah masuk ke ruang pendengaran anak gadisnya itu.  Fatasya mengangguk lemah.

‘Aduh, asyik-asyik sekolah.  Bosan betullah!’

Langkah kaki Fatasya dihalakan ke arah almari baju yang ditempatkan di sudut bilik, bersebelahan dengan penyangkut tuala.  Di situ juga ditempatkan telekung dan sejadah miliknya.  Fatasya merenung ke arah kain putih bersulam merah itu.  Kain sejadah yang sudah lama tergantung di situ.  Huh, sudah lama aku tidak menyentuhnya.

Fatasya mencapai tualanya lantas menuju ke bilik mandi yang terletak bersebelahan dengan biliknya di tingkas atas banglo keluarganya itu.  Usai membersihkan diri, Fatasya masuk semula ke bilik tidurnya.  Tempat tidur sudah dikemaskan oleh Mak Tijah, pembantu di rumah itu.

Pakaian sekolah disarung ke tubuhnya yang kecil molek.  Sedikit bedak disapu ke wajah supaya tampak segar.  Fatasya duduk di birai katil sementara menunggu suara ibu memanggilnya.  Sekali lagi dia merenung ke arah sepasang kain putih yang elok tersidai pada penyangkutnya.  Sebentar kemudian, Fatasya tundukkan wajah.

“Syaaa... Mari turun sarapan,” suara yang dinantikan akhirnya kedengaran.  Fatasya melangkah longlai.  Beg sekolah yang sudah siap dimasukkan buku itu disandang.  Pintu bilik dirapatkan.  Anak tangga dituruni satu persatu.

+++

“FATASYA..  Fatasya..” tangan dilambai-lambai di hadapan muka Fatasya.  Fatasya tersedar dari lamunannya.  Muhaini dan Nadhirah, dua teman baik Fatasya di sekolah.

“Awak tak makan ke?” hanya soalan itu yang keluar daripada mulut Muhaini.

“Dari tadi saya perhatikan, awak asyik termenung sahaja.  Kenapa Tasya?”

Nadhirah pula menyoal.  Fatasya mengalihkan pandangannya ke arah makanan yang sedikit pun tidak tercuit.  Tangannya mencapai garfu yang diletakkan ke dalam bekas makanan itu tadi.

“Mana ada.  Saya okey je.”

Fatasya berdalih.

“Tasya, orang lain awak boleh tipu.  Tapi tidak pada kami.  Kami kenal awak sejak kecil lagi.  Awak ada masalah ke?”

Tangan Muhaini mencecah ke bahu Fatasya yang duduk di sebelahnya.  Fatasya menoleh ke arah Muhaini, sekejap.  Dituruti dengan wajah Nadhirah.  Tangannya ligat bermain dengan tutp bekas makanannya. 

Seketika kemudian, deringan loceng menunjukkan masa rehat telah tamat kedengaran.  Fatasya lega.  Pantas dia mengenakan penutup bekas makan dan memberi isyarat untuk bangun kepada dua teman baiknya itu.  Muhaini dan Nadhirah menurut.  Mereka bangkit menuju ke kelas.

+++

“KAU dah solat, dik?”

Fidtri menegur Fatasya yang sedang leka menonton televisyen.  Fatasya hanya mengangguk.

“Dari tadi abang tengok kau dekat situ, bila masanya kau solat?”

“Eh... solat apa? Zohor? Dah lah.”

“Zohor apa lagi, dah masuk Asar dah ni.”

Jari Fidtri tegak menunjukkan ke arah jam di dinding.  Fatasya menyengih.  Dia bangun meninggalkan abangnya di ruang tamu.

“Adik...”

Fatasya menoleh.

“Solat tu, tiang agama.  Siapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agamanya.  Tetapi, sesiapa yang meninggalkan solat, sama seperti dia meruntuhkan agamanya,” suara Fidtri menerpa ke pendengaran Fatasya.  Fatasya menundukkan kepalanya.  Dadanya terasa sesak.

‘Oh Tuhan, terlalu banyak dosa yang telah aku lakukan,’ airmata Fatasya mula mengalir perlahan.  Tanpa dia sedari, tangan abangnya mengusap pipi mulusnya itu.  Air mata diseka.

“Allah Maha Pengampun, dik.  Kembalilah kepada-Nya,” sekali lagi Fidtri bersuara.  Fatasya mengatur langkah menuju ke biliknya.  Beberapa ketika kemudian, dia keluar, menuju ke bilik air.  Abangnya yang masih berada di ruangan televisyen, menoleh ke arahnya.  Senyuman manis dihadiahkan untuknya oleh lelaki itu.

+++

BILIK Fatasya berselerak dengan buku-buku teks setebal satu inci.  Kulit buku yang berwarna putih itu dihiasi dengan tulisan yang bukan tulisan rumi.  Fidtri terkejut melihat keadaan bilik adiknya.  Dia mengambil keputusan untuk menerjah masuk ke bilik adiknya seteolah ketukannya tidak berjawab.

Fidtri mencari susuk tubuh adiknya.  Bilik yang gelap menyukarkan pencariannya.  Namun dia tetap tidak menyalakan lampu, khuatir adiknya tidak selesa dan akan melakukan sesuatu di luar batasan.

Bunyi heretan kerusi membantu Fidtri menjejaki adiknya.  Dia mendekati arah itu.  Lantai bilik yang agak luas itu kini hampir dipenuhi dengan buku.  Dalam usaha menghampiri adiknya, Fidtri mengutip buku-buku itu satu persatu dan menyusunnya di tepi dinding.

“Adik...”

Esak tangis Fatasya mula kedengaran.  Fidtri mula bimbang.  Dia hampir kaget mendengar tangisan itu.  Tangisan penuh masalah.

“Adik...  mari sini, mari dekat abang.”

Fidtri menarik pergelangan tangan adiknya yang berjaya dicapai.  Perlahan.  Fatasya akhirnya keluar dari persembunyiannya.  Di celah antara almari baju dan  dinding bilik.

Fidtri membawa adiknya untuk duduk di sofa yang terletak di hujung katil.  Duduk bersebelahan.  Fidtri menarik kepala adiknya ke bahu.  Dia mahu adiknya merembeskan segala tangisan di bahunya.  Dia mengusap belakang gadis itu.

Tangisan kian reda.  Fatasya mengangkat muka yang disembamkan ke bahu abangnya sebentar tadi.  Dia tundukkan wajah.  Fidtri cuba mencari wajah yang cuba disembunyikan.  Lelehan airmata Fatasya disapu.

“Kenapa, dik?”

Fatasya menunjukkan wajahnya, semula.

Are you okay?”

Anggukan Fatasya meragukan Fidtri.

“Tak apalah.  Adik kemaskan buku-buku ni dulu.  Sekejap lagi dah masuk Maghrib.  Kita solat berjemaah ya?  Abang tunggu adik di bilik solat ya?”

Sekali lagi Fatasya mengangguk.  Sebaik susuk tubuh abangnya hilang daripada pandangan, dia bangkit untuk menyusun semula buku-buku yang bertaburan di atas lantai.  Dia terduduk berdekatan dengan susunan buku yang abangnya tempatkan di tepi dinding sebentar tadi.  Dia menangis teresak-esak.

+++

USAI mengimamkan solat, Fidtri menoleh ke arah adiknya.  Fatasya tunduk.  Bahu Fatasya disentuh.

“Kalau adik ada masalah, adik bagitahu abang ya?  Abang akan cuba tolong.  Lagipun, cuma kita dua beradik yang tinggal di rumah ini.  Abang tahu adik lebih selesa untuk bercerita dengan kak long, tapi, untuk sementara, adik cerita pada abang ya?”

Fatasya tersenyum.  Dia mengangguk.  Ya, dia seringkali menceritakan masalahnya kepada Farisah, kakak mereka yang sulung.  Pada Fatasya, hanya kakak dia sahaja yang mampu memahaminya.

Fatasya bangkit untuk menyimpan telekung yang sudah dilipat kemas.  Fidtri hanya mengekori langkah adiknya dengan ekor mata.  Selesai mengemaskan bilik solat, Fatasya meninggalkan abangnya sendiri.  Dia menghilangkan diri ke bilik tidurnya yang berselerak.

Fatasya duduk di birai katil.  Air matanya bergenang.  Sekejap dia terngiang-ngiang suara guru kaunseling sekolahnya, “Kalau kita ada masalah, mengadu pada-Nya.  Dia yang Maha Memahami keperluan hamba-Nya.  Dia yang menurunkan masalah kepada kita, dan hanya dia yang ada penyelesaiannya.  Dan, ingat, Dia tidak akan menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu ditanggung oleh hamba-Nya itu.”

‘Ya Allah, aku terlalu banyak melakukan maksiat terhadap-Mu.  Sudah terlalu banyak titik noda di hati ini.  Ya Allah, sudikah Engkau mengampunkanku?  Sungguh, aku berasa seperti tidak layak untuk menerima keampunan-Mu Allah.’

+++

FATASYA terjaga dari lenanya.  Lampu bilik masih menyala.  Dia terlelap!  Fatasya mencari jam untuk mengetahui waktu sekarang.  Jam 4.30 pagi!  Fatasya mula tidak tentu hala.  Ujian bulanan akan bermula hari ini, tetapi Fatasya masih belum mengulangkaji pelajaran.

Fatasya menangis sendiri.  Dia bangun menuju ke arah meja belajar.  Buku-bukunya berselerak.  Hasil amukannya tadi.  Dia sendiri tidak tahu mengapa dia tiba-tiba marah.  Marah pada dirinya kerana gagal memahami apa yang tercatat pada buku.

Hampir sepuluh minit merenung buku yang bagaikan kosong pada penglihatan Fatasya, akhirnya dia bangkit menuju ke bilik air.  Berwudhu’ dan menuju ke bilik solat.  Usai solat, Fatasya mencapai naskhah Al-Quran yang terletak elok di atas almari di sisinya.  Perlahan naskhah itu diselak dan dibaca antara didengari atau tidak.

+++

FITDRI merapatkan pintu bilik solat perlahan.  Tidak mahu kehadirannya mengganggu Fatasya.  Dia juga tidak mahu kehadirannya diketahui adiknya itu.  Fitdri tersenyum di luar bilik solat.  Dia meraup wajahnya dengan dua telapak tangan.  Syukur dipanjatkan ke hadrat Tuhan.  Dia melangkah semula ke bilik tidurnya.

Fatasya mengucup tanda perlahan naskhah Al-Quran yang dibacanya sebentar tadi, tanda menghormati kemuliaan naskhah itu.  Perlahan air matanya yang sedari tadi bergenang memenuhi kolam matanya mengalir.  Dadanya sakit menahan sebak.  Dia termenung sendiri mengenangkan laluan hidupnya sepanjang beberapa tahun ini.

Fatasya menangis semahunya.  Matanya kian membengkak.  Esak tangisnya yang awalnya hanya selesa di pendengaran telinganya kini semakin membingit.  Dia memeluk dua kakinya seerat mungkin.  Sedaya upaya menahan esakannya daripada terus mengganggu keluarganya yang sedang lena dibuai mimpi.

Jam di dinding setia menunjukkan waktu sekarang.  Jarum panjang hampir meninginjak ke angka enam sementara yang pendek sudah hampir mengekori si panjang.  Fatasya menyeka air matanya dengan jemari halusnya.  Dia bangkit dari duduk.  Mengatur langkah menuju ke bilik.

+++

JAM loceng berdering.  Bahu Fatasya sedikit tersentak.  Dia yang sedang tekun membaca bangun mencari arah bunyinya jam loceng tersebut.  Bunyi dihentikan.  Fatasya mencpai tuala mandi dan terus melangkah ke bilik air.

Kain telekung yang putih bersih disarung.  Dingin subuh itu menemani Fatasya bertemu Penciptanya.

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabatsahabatnya. Salam Sejahtera ke atas kamu berserta rahmat Allah.’

+++

DERINGAN loceng menandakan waktu menjawab sudah tamat.  Fatasya meraup wajahnya dengan kedua-dua tapak tangan.  Langsung dia tidak sedari bahawa tingkahnya itu diperhatikan oleh Muhaini dan Nadhirah.  Fatasya mengemaskan mejanya yang sedikit berselerak dengan alat tulis.

“Saya nak pergi jumpa Ustazah Lina sekejap.  Nanti kita balik sama-sama ya?”

“Okey.  Kami tunggu awak nanti.”

Fatasya menghilangkan dirinya dari penglihatan rakan sekelasnya.  Pagi tadi dia meminta supaya Ustazah Lina meluangkan sedikit masa untuknya.  Banyak perkara yang dia perlu dia luahkan kepada gurunya itu sebagai ganti kepada kakaknya, Farisah.  Ustazah Lina guru yang paling rapat dan sering berkongsi cerita dengan Fatasya.

Fatasya menjengah ke dalam bilik guru mencari kelibat Ustazah Lina.  Ustazah Lina melambai-lambai ke arah Fatasya mengisyaratkan supaya Fatasya masuk.  Fatasya duduk bersila di atas lantai sementara Ustazah Lina melabuhkan punggungnya di atas kerusi berdepan dengan Fatasya.

“Ya Fatasya?  Apa yang awak nak bincang dengan saya tu? Macam serious je.”  Ustazah Lina membuka bicara.

“Ustazah ...,”

“Ya Tasya?”

“Saya tak tahu dari mana saya nak mulakan.”

Relax.  Tarik nafas dalam-dalam.  Tenangkan hati.  Biarkan hati tu berzikir.  Minta Allah permudahkan urusan ini.”  Ustazah Lina tampak tenang dan menenangkan hati Fatasya yang bercelaru.

 “Saya tak tahu apa agama saya sekarang, ustazah.”  Ustazah Lina sedikit tersentak mendengar kenyataan Fatasya.  Fatasya memberanikan diri mengangkat muka untuk bertentang mata dengan Ustazah Lina.

“Sejak saya mula didatangi haid, saya tak pernah solat dengan sempurna.  Solat saya tak pernah cukup 5 waktu sehari semalam.  Apatah lagi nak tunaikan yang sunat.  Ustazah, saya pernah dengar penceramah-penceramah cakap, kata mereka, sekali kita tinggalkan solat kita, gugur iman kita.  Betulkan, ustazah?”

“Fatasya, solat bukan mainan.  Sebenarnya, solat tu merupakan salah satu cara untuk kita tunjukkan tanda syukur kita kepada Allah.  Allah ciptakan awak, pernah awak bersyukur?  Allah beri nikmat kesihatan, berikan awak ibu bapa yang sayang pada awak, keluarga yang care tentang awak, pinjamkan oksigen pada awak tanpa minta sebarang bayaran, pernah awak bersyukur?  Jadi, dengan solat sahaja boleh membuktikan bahawa awak menghargai dan sangat berterima kasih kepada Allah atas segala nikmat yang awak terima sekarang ni.”

“Saya tahu.  Tapi entahlah ustazah.  Saya tak tahu kenapa berat sangat saya nak tunaikan solat.  Kalau solat pun dah hilang entah kemana, hendak mengaji jauh sekali.  Sampai ke tahap sekarang, saya rasa lidah saya dah keras untuk sebut kalimah Allah.  Saya rasa berdosa sangat, ustazah.”  Ustazah Lina memegang bahu Fatasya lembut.  Esak tangis Fatasya mula kedengaran.  Dia tahu gadis itu benar-benar menyesali perbuatannya.

“Ustazah, apa agama saya sekarang ustazah?  Saya dah murtad ke?”

“Allah Maha Pengampun, Tasya.  Balik nanti, awak buat solat sunat Taubat.  Mohon keampunan dari-Nya.  Fatasya, Allah tak pernah kecewakan hamba-Nya.  Allah tak kejam.  Allah Maha Penyayang dan memahami keperluan hambanya.  Mohon pada-Nya.”  Ustazah Lina berbicara dengan senyuma.  Manis.  Fatasya hanya mengangguk.  Tangannya terus menyeka air mata yang masih deras mengalir.

“Tapi sebelum tu, awak kena belajar mengaji semula.  Kalau mengaji tak betul, macam mana nak solat.  Betul tak?”

“Betul.  Ustazah boleh bantu saya?”

“InsyaAllah.  Sekarang ni, awak balik dulu.  Buat apa yang saya cakapkan tadi.  Tenangkan hati.  Jangan serabutkan otak sangat.  Awak tengah exam, kan?  Fokus pada exam.  Jangan terlalu fikirkan masalah awak.  Tapi jangan pula lupakan Allah yang akan sentiasa membantu permudahkan urusan awak.”

Fatasya senyum.  Senyumannya dibalas Ustazah Lina.  Langkah Fatasya dituruti dengan ekor mata Ustazah Lina.

+++

KEPUTUSAN ujian bulanan sudah dikeluarkan.  Markah murid kelas tingkatan empat dan lima di tampal pada papan kenyataan.  Dari jauh Fatasya hanya memerhati gelagat murid yang berpusu-pusu untuk melihat markah mereka.  Fatasya terus melangkah ke kelas.  Langsung tiada niat untuk menjenguk keputusannya.

Fatasya duduk di tempatnya.  Dia mengeluarkan sebuah buku untuk menjadi santapan mindanya pagi itu sementara menunggu waktu perhimpunan.  Muhaini dan Nadhirah masih tidak kelihatan.  Hanya beg mereka terletak elok di tempat duduk mereka.  Mungkin mereka juga antara murid yang berasakan di hadapan papan kenyataan sebentar tadi, agak Fatasya sendiri.

“Tasya!”  Suara Muhaini mengejutkan Fatasya.  Fatasya menoleh.

“Tahniah, awak dapat markah tertinggi dalam subjek Kimia!”  Fatasya terkebil-kebil.  Antara percaya dengan tidak tentang perkara yang baru sahaja disampaikan ini.

“Kimia?”  deras anggukan daripada Muhaini dan Nadhirah. “Tapi ...,”  Fatasya mematikan katanya di situ.  Sebentar kemudian dia meraup wajahnya dengan dua tapak tangannya.  Syukurnya dipanjatkan ke hadrat Illahi.

+++

“FATASYA, cuba awak sebut perkataan ‘Allah’,” pinta Ustazah Lina.

“Allah.”

“Alhamdulillah.  Lidah awak dah tak sekeras dulu.  Tapi, awak kena teruskan belajar mengaji ni.  Abang awak pun boleh ajar awak di rumah, kan?”  Fatasya mengangguk.  Benar kata Ustazah Lina, lidah Fatasya tidak lagi keras seperti di awal Fatasya datang dan belajar mengaji dengannya dahulu.  Sebutan Fatasya kian lancar.  Langsung tidak nampak riak kekok dalam sebutannya.

Fatasya bersyukur kerana Allah masih menyayanginya dan masih memberi peluang untuknya kembali ke jalan Allah.  Fatasya sedar dia hanya meminjam kehidupan yang sementara ini daripada Allah dan Allah berhak untuk mengambilnya kembali pada bila-bila masa sahaja, oleh sebab itu, Fatasya tahu, dia patut bersyukur dengan segala anugerah Allah kepadanya.

Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.



~SyaCha Abdullah~
~Nurul Syafiqah Abdullah~
~19/02/2012~
~2.03 AM~

No comments:

Post a Comment

hey...!!
syukran :)
sila tinggalkan komen anda walaupun dengan hanya menunjukkan mood ^_^