4.9.12


Tips Untuk Cemerlang dan Persediaan Menghadapi Peperiksaan

Sudahkah para pelajar bersedia untuk menghadapi peperiksaan?
Ikuti serba sedikit tips yang boleh dijadikan panduan untuk memastikan persediaan yang rapi sebelum menghadapi peperiksaan .....

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN ..............
kepada semua calon PMR, SMA dan SPM..........



1. Semak jadual

     Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar,   
     khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan 
     yang ak hir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan 
     belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.

2. Kunci peperiksaan

    Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan  
    dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika 
    menjawab soalan.

    Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas 
    peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda 
    dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan

    Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang 
    masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda 
    sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.

    Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, 
    bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan

    Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi 
    peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar 
    berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.

    Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu 
    mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan

    Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam 
    peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan 
    tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

    Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa  
    yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan 
    sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

    Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki 
    peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu 
    boleh menyebabkan anda jatuh sakit.

    Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan 
    terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah.  
    Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

    Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat 
    masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh 
    dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan  
    lepaskan peluang keemasan itu.

    Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa 
    hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu 
    mengembang dan mencergaskan minda anda.

    Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan  
    yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan 
    penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini 
    disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.

    Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda 
    berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang 
    masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan 
    lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, 
    bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

    Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda 
    panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

    Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita 
    dapat menjawab soalan dengan jayanya.

    Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan 
    anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika 
    menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda 
    mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan 
    bimbang.

    Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh 
    pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa  
    terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih 
    mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat 
    kemudian.

    Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat 
    amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada 
    kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda 
    hitam pensel

    Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, 
    semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu 
    dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa 
    untuk tujuan semakan terakhir.

    Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang 
    diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab  
    kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak 
    digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi  
    mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

    Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab 
    kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan 
    berakhir.

    Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak 
    jawapan.

6. Elakkan situasi yang boleh mengganggu perasaan

    Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya 
    sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan.  
    Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan 
    dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal

    Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal 
    peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah   
    membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah 
    SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, 
    malah mencapai kejayaan.

    Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan 
    meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar- 
    pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu 
    nanti.


Jaga Pemakanan Ketika Peperiksaan

Jika peperiksaan tersebut diadakan pada sebelah pagi, maka janganlah lupa bersarapan. Sarapan yang diambil hendaklah disertakan makanan yang mengandungi protein dan buah-buahan.

Ambil makanan yang kaya dengan protein seperti telur, kacang dan yogurt semasa sarapan dan makan tengahari. Begitupun, ambil sarapan yang ringan kerana jika makan secara berlebihan atau mengambil makanan yang berat, dikhuatiri akan mengantuk.

Sebelum waktu peperiksaan, tidurlah dengan cukup kerana kurang tidur akan menyebabkan kelesuan, lekas marah dan mental yang tidak mantap.

Amalan pemakanan sihat ketika peperiksaan.

- Untuk mendapatkan tidur yang cukup, ambil makanan karbohidrat (roti, mi atau pasta) dan   
  juga sedikit makanan protein kurang lemak (ikan, ayam atau daging) untuk makan malam.

- Ketika waktu peperiksaan, cuba kurangkan mengambil bahan yang ada kafein dan coklat.

- Walaupun ia membantu untuk kecerdasan otak, jumlah yang berlebihan boleh menyebabkan 
  getaran dan debaran, menaikkan tahap kebimbangan dan memberi kesan pada tumpuan.

- Sebaliknya sediakan snek yang berkhasiat seperti protein bar atau fruit bar di antara waktu 
  rehat.

- Minum air secukupnya kerana badan akan menjadi lesu sekiranya kekurangan air dan ini 
  boleh menyebabkan hilang fokus semasa peperiksaan.

- Minumlah segelas susu panas sebelum masuk tidur.

- Mengambil makanan yang mengandungi vitamin B dan Omega 3 boleh meningkatkan daya 
  ingatan.

- Kalau ada masa, lakukan senaman. Senaman fizikal meningkatkan pembekalan oksigen 
  dalam darah dan nutrien ke dalam otak supaya ia dapat berfungsi dengan efisien.

No comments:

Post a Comment

hey...!!
syukran :)
sila tinggalkan komen anda walaupun dengan hanya menunjukkan mood ^_^