AIRUL bangkit dari kerusi. Selera makannya terhenti terus. Sejak duduk di meja makan, hanya bebelan Abah menjadi santapannya. Dia bosan. Abah asyik sahaja membebel. Bukan Airul tidak mahu lunaskan segala permintaan Abah. Cuma masa belum lagi mengizinkannya.
“Itulah Abahnya, asyik sahaja bising kat anak tu. Sudahnya, makan pun tak mahu.” Emak Mula membka bicara sebaik sahaja kelibat Airul hilang daripada pandang empat bebola mata itu.
“Saya bukan saja-saja nak bisingkan anak awak tu. Tapi cuba awak tengok betul-betul cara pemakaiannya, cara dia menguruskan masanya. Awak tak rasa pelik ke? Saya ni bukan apa Jah, saya cuma risau, agak-agak awak lah, kalau saya mati nanti, boleh ke anak kita tu menguruskan jenazah saya ni?”
Abah terus bangun menuju ke sinki. Malas mahu duduk di meja itu lagi. Nasi juga baru sesuap masuk ke perut Abah yang sedikit buncit, memang itu fenomena yang sering berlaku terhadap lelaki-lelaki yang sudah berpencen.
Emak membisu tanpa sebarang bicara. Mata Emak mengekori langkah Abah yang perlahan-lahan sedang mendaki anak tangga, entah ke mana arah tuju Abah, Emak juga tidak pasti. Sekejap Emak termenung. Abah tidak pernah membicarakan soal mati. Bukan langsung tidak pernah, cuma tidak pernah membicarakan tentang Abah sendiri yang akan menghadapi perkara itu.
+++
ABAH duduk di bangku rotannya. Sedikit goyangan tampak di mata. Tangan Abah ligat menggerakkan tasbih sambil mulutnya terkumat-kamit berzikir. Airul hanya memerhati dari jauh. Komik pada tangannya hanya sekadar hiasan. Matanya ralit merenung tingkah Abah.
Malam tadi Emak masuk ke bilik Airul. Ketika itu Abah masih berada di masjid di hujung kampung. Selalunya, Abah ke masjid dengan motosikal yang Along belikan. Menggunung pahala Abah sedekahkan pada Along.
Airul termenung mengingatkan tentang apa yang Emak sampaikan malam tadi. Airul sendiri terkejut dengan perkhabaran itu apatah lagi Emak yang sudah hampir 30 tahun hidup bersama dengan Abah.
+++
“FUAD, kau boleh tolong aku tak?”
“Tolong apa? Kalau boleh, aku cuba.” Fuad, rakan sekampung merangkap kawan baik Airul sejak kecil. Dia yang seringkali menjadi tempat untuk Airul meluahkan segala masalah.
“Aku nak cari kerja. Kau ada cadangan?”
“Kau nak kerja macam mana?”
“Buat masa ni, aku tak rasa nak pergi jauh daripada keluarga. Jadi, aku rasa, kerja yang biasa-biasa pun boleh.”
“Esok petang kau ikut aku. Tapi, aku nak tahu, kenapa kau tak mahu pergi jauh dari keluarga kau? Bukan itu ke yang kau mahukan dulu?”
Airul diam. Langsung tidak menjawab soalan Fuad. Rasa seperti hendak bangun meninggalkan Fuad saat itu, tetapi punggung Airul bagaikan melekat di atas pangkin. Kakinya digoyangkan perlahan. Kepalanya sekejap didongakkan ke langit, sekejap lagi ditundukkan ke tanah. Fuad sepi memerhatikan gelagat temannya itu. Malas untuk menyoal lanjut sebab dia tahu temannya itu diulit seribu masalah. Ruang perlu diberikan seluasnya untuk Airul bersendiri.
+++
“AIRUL dah solat?” soal Abah perlahan. Dari lepas makan hinggalah ke saat Abah menegur, Abah nampak Airul terpaku depan kaca televisyen itu. Leka dengan keasyikan dunia. Airul menoleh ke arah Abah yang tegak berdiri di sebelahnya.
“Belum, Bah.”
“Solat dulu, nak. Dah hampir pukul 4 petang ni. Asar pun dah dekat.” Airul bangkit tanpa membantah. Benar kata Abah, jam hampir menunjukkan waktu 4 petang dan waktu Asar kian menjelang.
“Airul ...,” Airul menoleh.
“Lepas solat, tunggu waktu Asar ya. Kita berjemaah sekali dengan Emak.”
“Abah tak pergi ke masjid?”
Abah menggeleng perlahan. “Sesekali Abah nak juga merasa jadi imam untuk keluarga kita dan kalau boleh, Abah juga teringin nak diimamkan oleh anak-anak Abah.” Airul mengangguk. Benar kata Emak, Abah dah lain!
+++
SEBAIK azan Asar kedengaran, Abah lekas-lekas ke serambi rumah. Emak membontoti Abah.
“Airul iqamah. Abah imam.” Abah memberi arahan. Airul bangkit dari duduknya dan melaungkan iqamah.
Usai solat, doa dan bersalaman, Emak terus ke dapur untuk menyediakan minum petang. Airul bangun menuju ke muka pintu serambi rumah itu. Kakinya dilunjurkan ke atas anak tangga teratas. Abah duduk di sebelah tingkap yang terbuka sambil menyandar.
“Airul ...,”
“Ya, Abah?”
“Kalau Abah tak ada nanti, Airul tolong jaga Emak ya? Jaga Emak elok-elok.”
“Kenapa Abah tiba-tiba cakap soal ni? Abah tak percaya pada Airul ke?”
“Bukan tak percaya, nak. Abah cuma nak Airul beri lebih masa pada Emak selepas Abah tak ada nanti.”
“Abah ...,”
“Airul, di dunia ni tak ada satu benda pun yang kekal. Al-Quran pun Allah tarik semula, inikan nyawa kita yang dipinjamkan.” Airul senyap mendengar bicara Abah. Entah apa yang bermain di fikiran Abah kini, Airul tidak dapat membacanya.
“Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Tak kira tua, muda, berharta atau papa kedana. Sebab itu kita kena beringat. Bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik nyawa yang Allah pinjamkan kepada kita, nak. Tapi, nak ke kita, nyawa kita ditarik dalam keadaan kita langsung tidak mensyukuri kurniaannya?”
“Maksud Abah?”
“Nyawa kita satu kurniaan. Oksigen yang Allah bekalkan tanpa minta sebarang bayaran, satu nikmat pada kita. Ibu dan ayah yang mendidik dan mengasuh kita sejak kecil, juga kurnia dari Allah. Jadi, macam mana kita patut tunjukkan kepada-Nya bahawa kita sebenarnya bersyukur?”
“Airul kurang faham.”
“Airul, Abah selalu baca di surat khabar, ada bayi yang meninggal semasa dilahirkan sebab kekurangan oksigen. Ada juga bayi-bayi malang yang ditinggalkan tanpa ibu bapa, langsung ada yang yang digigit semut sehingga mati. Airul pernah bayangkan tak jika Airul berada di tempat bayi-bayi itu?” Airul menggeleng.
“Jadi Airul bersyukur dengan nikmat yang Airul dapat sekarang?”
Mengangguk.
“Bagaimana?”
“Errrr ...,”
“Jujur dengan Abah, sudah berapa lama Airul tinggal solat? Muka Airul dah tak berseri macam dulu.” Airul diam.
“Airul, fikir-fikirkanlah apa yang Abah cuba sampaikan. Airul dah besar, dan Airul dah boleh berfikir. Sebenarnya, solat salah satu cara untuk kita mensyukuri segala kurniaan-Nya. Allah tak minta apa-apa daripada kita selain menjauhkan diri daripada larangan-Nya dan melaksanakan segala suruhan-Nya. Itu saja.”
+++
SUBUH yang hening. Emak mengejutkan Abah. Selalunya waktu seperti ini, Abah sudah berada atas tikar sejadah. Abah langsung tidak menyahut. Menguit pun tidak. Emak mula kalut. Mungkin hari inilah yang Abah tunggu sejak kebelakangan ini.
“Abah ...,” perlahan Emak goncangkan tubuh tua Abah. “Abah ... bangun solat. Dah masuk waktu Subuh ni.”
Lengan Abah disentuh. Emak terdiam. Hatinya bagai bom jangka yang hanya tinggal beberapa detik sahaja lagi untuk meletup. Perit.
Emak cuba mengawal emosinya. Dia bangkit menuju ke bilik Airul di sebelah. Pintu bilik yang terkunci diketuk perlahan dan bertalu-talu.
“Emak ... .” Airul terpisat-pisat. Kolam air mata Emak sudah tidak mampu menampung beban kandungannya. Kolam itu pecah akhirnya. Airul terpinga-pinga melihat linangan air mata emaknya.
“Kenapa, Mak?”
“Abah ...,”
“Abah?” Airul menanti jawapan daripada Emak sambil otaknya ligat berfikir. “Abahhhh ... .” Airul berlari menuju ke bilik tidur orang tuanya sebaik sahaja otaknya dapat mencerna maklumat singkat yang Emak beri sebentar tadi.
+++
“ABAH, Abah bangun, Bah. Abah, bangun ...,” Airul tidak berhenti menggerakkan tubuh tua yang kaku itu.
“Abah ... .”
Emak menarik tubuh Airul sedikit. Lafaz Istirja’ terpacul daripada mulut Emak. Kedua-dua belah mata Abah sudah tertutup, jadi Emak tidak perlu merapatkannya lagi. Tangan Abah juga sudah dalam keadaan qiam, Abah seperti sudah tahu masanya akan tiba. Emak bangun mencari sehelai kain yang agak panjang dan sesuai untuk mengikat dagu Abah. Kaki Abah diluruskan dan kedua-dua ibu jari kaki tua itu diikat. Airul hanya memerhatikan tindak-tanduk Emak. Sungguh, Airul miskin dengan ilmu agama! Dia meraup wajahnya. Kecewa.
“Airul, bantu Emak pusingkan Abah menghadap kiblat. Lepas tu, Airul pergi solat Subuh. Nanti lewat pula.”
Airul mengangguk. Selesai membantu Emak, Airul bangkit meninggalkan dua jasad tua itu disitu. Kelihatan Emak bangkit mencapai naskhah Yassin yang terletak elok di dalam almari.
“Lepas solat Subuh, tolong bagitahu pada Tok Ketua tentang Abah. Ya, nak?” Sekali lagi Airul mengangguk. Emak begitu tabah menghadapi keadaan ini. Perlahan suara Emak kedengaran, memulakan bacaan Yassin dan pahalanya disedekahkan kepada Abah. Supaya Abah lebih tenang di sana.
+++
SEMINGGU Abah pergi meninggalkan keluarga. Anak-anak yang tinggal jauh juga sudah pulang ke tempat tinggal masing-masing utnuk memenuhi tuntutan hidup mereka di sana. Emak kelihatan tenang. Mungkin Emak sudah bersedia lebih awal sejak Abah mula memberi petunjuk.
Airul termenung di meja makan. Cekodok pisang dan secawan air kopi hanya menjadi santapan mata. Airul teringat saat dia bangun dan meninggalkan Abah ketika Abah menegurnya dahulu. Dia juga terkenangkan saat Abah menghantarnya ke sekolah dengan basikal buruk Abah dahulu. Sebaik sampai di sekolah, Abah kucup dahi Airul dan berpesan, “Belajar sampai pandai, supaya bila besar nanti Airul boleh bantu Abah dan Emak.”
Air mata Airul menitik perlahan. Dia tidak sempat menunaikan hasrat Abah yang satu itu. Airul tidak dapat membantu Abah. Airul teringat pernah dia berjanji dengan Abah untuk membelikan Abah sebuah kereta sebaik sahaja dia mendapat gaji pertama. Tapi kini Abah sudah tiada. Airul tidak dapat melunaska janjinya pada Abah.
‘Abah ... Airul rindu Abah.’
“Airul ... .”
“Emak.”
“Tak elok meratapi orang yang dah tak ada. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Itu hakikat hidup di dunia ni. Lagipun, Abah bukan hak kita. Kita doakan untuk Abah ya.”
“Abah bukan hak kita? Maksud Emak?”
“Abah hak Allah, sayang. Allah pinjamkan pada kita sementara sahaja. Sampai masanya, Allah akan ambil semula apa yang dipinjamkan.” Airul mengangguk tanda faham. Sekejap dia teringat kata-kata Fuad pada hari Abah disahkan meninggal, “Allah takkan tarik nyawa hamba-Nya kecuali di saat hamba-Nya berada di salah satu puncak. Puncak kebaikan atau puncak kejahatan. Aku yakin, abah kau berada di puncak kebaikan. Sama-samalah kita redhakan pemergiannya.”
+++
JAM 3 pagi. Airul mengetuk pintu bilik Emak bertalu-talu. Emak bangun terpisat-pisat menuju ke pintu dan membukanya. Airul menerpa masuk. Dia menuju ke almari baju arwah Abah. Airul mencari sesuatu.
“Airul!” Emak menengking.
“Maafkan Airul, Mak. Airul mimpi Abah. Abah kata, Abah ada tinggalkan surat untuk Airul di sini. Dalam almari ni!” Airul menunjuk dengan jari telunjuknya.
“Airul rindukan Abah ya?”
“Ya. Tapi Airul rasa mimpi Airul betul. Mak, sekali ni je, tolong Airul cari surat tu, Mak.” Emak menggeleng melihat gelagat anak bongsunya. Emak mendekati Airul dan membantu Airul. Baju-baju Abah yang bersusun diselak satu persatu. Laci Abah juga dibuka.
“Sekejap. Emak rasa, Emak pernah nampak Abah sorokkan sesuatu. Airul beralih, biar Emak cari.” Airul beralih sedikit. Hampir 10 minit pencarian, tangan Emak akhirnya memegang sesuatu. Airul tersenyum. Dia membuka sampul surat bersaiz A4 itu.
‘Buat tatapan anak Abah, Airul. Maafkan Abah sebab terpaksa tinggalkan Airul dalam keadaan Airul masih perlukan Abah. Abah tahu Airul malu dengan Abah sebab Airul banyak hutang dengan Abah. Tak apa, nak. Abah halalkan semuanya. Abah tak pernah harapkan Airul membalas segala yang Abah lakukan untuk Airul. Perkataan yang ‘Okey, Abah tunggu’ yang Abah selalu guna setiap kali Airul berjanji hanyalah untuk membakar semangat Airul. Hasilnya, sekarang Airul dah berjaya cuma Airul belum bernasib baik untuk mendapat tempat dimana-mana ruang pekerjaan.’
‘Airul, Abah tak pernah lekang mendoakan supaya anak Abah mendapat kerja yang baik. Mungkin Airul belum mendapat tempat kerana itu bukan yang terbaik untuk Airul. Airul, kali ini, berjanjilah dengan Abah sesungguh-sungguhnya, tolong jaga Emak sebaik mungkin. Jangan biarkan Emak sendiri dan bersendiri. Ya, Emak nampak tabah sebab Emak tak mahu tengok Airul makin berduka. Masakan tidak, Airul anak yang paling manja dengan Abah sejak kecil lagi. Cuma selepas Airul habis belajar, Airul sedikit berubah. Mungkin kerana Airul malu.’
‘Airul, janji dengan Abah, jangan tinggalkan solat lagi. Abah suka tengok Airul solat macam dulu-dulu. Sejuk hati Abah tengok anak Abah tunaikan perintah Allah sebab anak-anak Abah sahaja tiket untuk Abah dan Emak ke Jannah kelak. Janji dengan Abah ya, nak? Akhir kalam, Abah sayang Airul sepenuh hati Abah walaupun Abah tak pernah ungkapkannya. Assalamualaikum.’
Airul melipat semula surat yang Abah tinggalkan. Air matanya menderu laju. Airul berlari mendapatkan Emak. Tubuh tua Emak didakap erat.











No comments:
Post a Comment
hey...!!
syukran :)
sila tinggalkan komen anda walaupun dengan hanya menunjukkan mood ^_^